Selasa, 14 Disember 2010

MASALAH DAJJAL : KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Sejak akhir-akhir ini, saya sering menjumpai orang memperkatakan di sana sini mengenai Dajjal. Titik tolaknya adalah dari tersebarnya pelbagai jenis artikel-artikel teori konspirasi di sana sini, yang mengaitkan kewujudan pertubuhan-pertubuhan tertentu dengan dajjal, salah satu tanda kiamat.
Saya secara peribadi pada mulanya agak sangsi. Pertama, kerana perkara berkaitan teori-teori konspirasi ini adalah sesuatu yang masih kabur, belum dibuktikan. Nama pun teori, jika dibuktikan maka bukan lagi bergelar teori sebaliknya sudah menjadi hukum dan kebenaran.
Keduanya, adalah berkaitan dengan dajjal. Dajjal disisi Islam adalah dikaitkan sebagai tanda-tanda definite/besar pengakhiran alam, iaitu hari kiamat. Kita semua sedia maklum, bahawa Islam itu tertegak dengan hujah dan dalil. Maka saya yang sering berfikir ini, bertemu dengan dua titik yang cukup berbeza – titik kekaburan dan ketidakpastian mengenai teori-teori konspirasi tersebut, dengan titik kebenaran dan hakikat mengenai dajjal disisi Islam yang tetap hukumnya! Bagaimana mungkin dua perkara yang berbeza ini, disatukan menjadi satu.
Lalu membawa saya kepada menyiasat asal-usul mengenai perkaitan dajjal dengan teori-teori ini. Hinggalah akhirnya, menemukan saya dengan beberapa artikel, yang menyatakan bahawa mereka mengambil tanda-tanda dajjal ini (atau digelar “kod-kod dajjal”) daripada alquran dan hadis serta daripada kitab-kitab lain termasuklah kitab yahudi (talmud, torah), kristian (bible, testaments), kitab-kitab india (Vedi) dan sebagainya.

Dajjal itu perkara ghaib

Di sisi Islam, terdapat beberapa aspek yang dinamakan perkara ghaib. Ramai yang tersalah anggap mengatakan perkara ghaib itu adalah perkara-perkara yang melibatkan alam ghaib, paranormal, hantu dan jin semata. Tidak, sebenarnya. Bagi orang Islam, perkara ghaib itu adalah perkara-perkara yang tidak dapat dinampak oleh pancaindera serta tidak dapat ditentukan kebenarannya, namun wajib diimani, dipercayai dan diakui.
Sesetengah orang, terutamanya saintis dan rasionalis berpendapat disebabkan Islam mempunyai aspek perkara ghaib inilah mereka gagal memahami Islam. Ini kerana bagi para saintis dan rasionalis, mereka gagal/sukar untuk akur kepada perkara-perkara yang bukan saintifik iaitu tidak dapat diukur dari segi kualitatif mahupun kuantitatif.
Sedangkan sesetengah yang lain pula, berpendapat perkara ghaib inilah yang menjadi asas kepada keimanan (faith) dalam Islam. Sepertimana kata pujangga – “To believe after seeing is normal. To believe without seeing is faith”. Ini yang menjadikan para penganut Islam istimewa – kita percaya kepada alam ghaib tanpa melihat dan menyentuhnya, dan dengan kepercayaan inilah kita memusatkan hidup kita terhadap yang ghaib iaitu Allah.
Jadi, apa itu perkara ghaib disisi Islam? Adakah Dajjal juga, perkara ghaib disisi Islam? Dalil kepada kewujudan perkara ghaib ini ada diceritakan di dalam alQuran, surah Al-Baqarah ayat 3
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ
Maksudnya: (Orang-orang yang bertaqwa adalah) mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib… (Surah Al-Baqarah: 3)
Imam As-Syirbini berkata dalam menjelaskan ayat tersebut dalam tafsir As-Siraj Al-Munir sebagai,
يصدّقون بما غاب عنهم من البعث والجزاء والجنة والنار والصراط والميزان
Maksudnya: (Orang yang beriman dengan yang ghaib) iaitu: mereka yang membenarkan apa yang ghaib (tidak kelihatan dengan pancaindera) daripada mereka daripada perkara-perkara berkaitan hari kebangkitan, hari pembalasan, syurga, neraka, as-sirath (jambatan) dan timbangan amal.
Secara ringkas, terdapat tujuh (tetapi tidak semestinya hanya tujuh) perkara ghaib yang ditafsirkan oleh Imam As-Syirbini:
  1. Tidak kelihatan dengan pancaindera – contohnya Allah, malaikat, iblis, jin, hantu dsb
  2. Perkara-perkara berkaitan hari kebangkitan – Alam barzakh, persoalan amal dalam kubur
  3. Perkara-perkara berkaitan hari pembalasan – Mengenai hari kiamat, tanda-tandanya serta bagaimana kejadiannya
  4. Perkara-perkara berkaitan syurga – suasananya, ciri-cirinya, ahli-ahlinya dsb
  5. Perkara-perkara berkaitan neraka – suasananya, ciri-cirinya, ahli-ahlinya dsb
  6. Perkara-perkara berkaitan titian sirat
  7. Perkara-perkara berkaitan timbangan amal
Jadi apa pula itu dajjal? Dajjal itu sebagaimana disebut oleh Rasulullah s.a.w adalah salah satu daripada tanda-tanda besar hari kiamat. Justeru, ya, Dajjal juga sebahagian daripada perkara ghaib!
Mungkin ada yang tertanya-tanya, oleh kerana perkara ghaib ini tidak saintifik, maka apa caranya untuk kita mengetahui mengenainya? Jawapannya adalah dengan berpandukan alQuran dan Hadis.
Perkara Ghaib itu adalah sepertimana yang diceritakan di dalam alQuran dan Hadis. Allah mewahyukan kepada kita mengenai hari akhirat, mengenai jin, mengenai syaitan dsb di dalam alQuran dan Hadis.
Saya ingin membawa kita semua cuba berfikir sejenak, mengenai rukun Iman kita. Tahukah anda, hampir semua rukun-rukun Iman kita adalah terdiri daripada perkara ghaib! Ironinya, semua rukun Iman tersebut kita mesti percaya kepadanya!
Rukun iman pertama, percaya kepada Allah. Bukankah Allah itu perkara ghaib? Kedua, percaya kepada malaikat – malaikat juga perkara ghaib! Keempat, percaya kepada Rasul – tetapi di zaman kita ini, sudah tidak ada Rasul yang hidup di dunia! Kelima, percaya kepada hari akhirat, sedangkan hari akhirat juga adalah perkara ghaib!
Keenam – percaya kepada qada’ dan qadar, iaitu sesuatu yang semestinya abstrak dan tidak boleh di-saintifikkan, maka saya secara peribadi mengatakan ia juga sebahagian dari perkara ghaib.
Antara kesemua rukun iman tersebut, satu yang saya tidak sebut – Percaya kepada Kitab, iaitu di zaman sekarang ini, hanya AlQuran yang benar-benar asli. Sebab itu dikatakan, AlQuran itu kunci keimanan!

Kebatilan merujuk mengenai Dajjal daripada sumber bukan Islam

Kembali kepada topik – Justeru itu, kita umat Islam, ada panduan tersendiri mengenai dajjal yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya, melalui alQuran dan Hadis. Kedua-dua alQuran dan Hadis adalah rujukan kita mengenai perihal dajjal, tanda-tandanya, kedatangannya, kesannya termasuklah siapa dia.
Tetapi para golongan conspiracy theorist kini telah mencampuradukkan perihal dajjal dengan mengambil keterangan-keterangan dari kitab-kitab bukan Islam seperti kitab yahudi dan kristian (testaments), kitab India (veda) dan pelbagai lagi yang entah dari mana sumbernya.
Bagi saya, saya melihat ini sebagai usaha “menyamaratakan” antara kesemua sumber-sumber ini atas alasan ianya “sejarah”, sedangkan perihal dajjal itu bagi umat Islam adalah perkara ghaib. Inilah apa yang dikatakan sebagai konsep “pluralisma” dalam agama, iaitu satu bentuk penyamarataan agama!
Contohnya, perihal hari kiamat. Perihal hari kiamat bagi umat Islam adalah satu perkara ghaib, yang mana kita hanya merujuk kepada alquran dan sunnah untuk mengerti mengenainya. Kenapa tidak menggunakan kitab-kitab dari agama-agama lain juga untuk menerangkan mengenai hari kiamat? Gunalah kitab mayan untuk menyatakan hari kiamat itu pada 2012. Gunalah kitab india yang mengatakan tiada hari kiamat melainkan kesemua manusia mencapai taraf moksya lalu bersatu menjadi nirvana?
Tidak boleh, kan? Kerana kiamat itu perkara ghaib. Begitu juga dajjal. Dajjal itu perkara ghaib. Ia telahpun diceritakan oleh Rasulullah dan Allah melalui hadis dan alQuran, maka cukuplah itu sahaja sumber kita mengenainya.
Ini permasalahan akidah yang cukup berat, sebenarnya. Kerana jika kita mengambil dan percaya keterangan dajjal dari kitab yahudi & kristian, kitab india dsb itu, ini bermakna kita juga beriman dengan kitab-kitab agama tersebut. Kita menyamaratakan taraf alquran dengan taraf kitab-kitab tersebut, itulah pluralisma dalam agama. Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan dari keadaan sedemikian.
Saya menyanjung usaha pihak para conspiracy theorist dalam menyuntik kesedaran, namun hendaklah kesedaran yang disuntik tersebut adalah kesedaran untuk kembali merujuk kepada AlQuran dan Sunnah yang sebenar.

Dajjal Mengikut AlQuran dan Hadis

Pun begitu, saya bersyukur kepada Allah kerana usaha pihak para conspiracy theorist ini yang mula menyedarkan ummah mengenai fitnah dajjal. Namun dalam menghadapinya, kita hendaklah merujuk kepada AlQuran dan Sunnah sahaja. Usahlah mengaitkan dajjal dengan binaan yang pelik-pelik, corak yang pelik-pelik, organisasi-organisasi tertentu dsb.
Saya tidak bercadang membawakan di sini “kod-kod dajjal” kompilasi saya pula, kerana tentunya akan memanjangkan penulisan saya yang sedia panjang ini. Nasihat saya, rujuklah para ulama’ yang menjadikan alquran dan hadis sebagai sumber mereka mengenai perihal dajjal tersebut.
Namun, saya berbesar hati membawakan panduan menghindari dari fitnah Dajjal menurut alQuran dan Hadis. Caranya nampak mudah, tapi sukar untuk kita laksanakan, iaitu – Kembali kepada alQuran dan Hadis. Saya memetik ulasan dari Ustaz Hasrizal dalam sebuah artikelnya, yang ada mengulas mengenai menghindari fitnah dajjal:
_______________________________________________________________
Terkenang kepada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang pendinding yang menyelamatkan manusia daripada fitnah intelektual Dajjal yang terzahir pada Materialisma.
Materialisma bukan gila kebendaan semata.
Ia adalah fahaman yang memaut makna pada yang tersurat hingga buta pada yang tersirat.
Berikut pesan Baginda:
Kepentingan Surah Al-Kahf
Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda – Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, pasti terlindung daripada dajjal (HR Muslim 809)
Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda – Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)
Surah al-Kahfi!
Kita digesa Sunnah melaziminya.
Menghidupkan malam Jumaat pada membaca dan menekuninya.
Pastinya fungsi surah al-Kahfi pada menyelamatkan seorang manusia daripada fitnah Dajjal itu tidak berlaku hanya pada membaca dan menghafalnya. Sebaliknya, keterangan Sayyid Qutb berkenaan surah ini di dalam tafsir karangannya Fi Dhilal al-Quran, ada pencerahan:
Pandangan Sayyid Qutb:
1. Tashih al-Aqidah (Memperbetulkan Aqidah/Kepercayaan)
2. Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Memerhati/Mencerap)
3. Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah yang benar)
Sayyid Qutb berpandangan, Surah al-Kahf itu bertindak sebagai pendinding manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menyentuh mekanisma perbuatan manusia.
_____________________________________________________________

Surah Al-Kahfi!

Saya tertarik dengan tafsiran surah Al-Kahfi menurut pandangan Sayyid Qutb tersebut. Dan berdasarkan pemikiran dan pemerhatian saya, itulah yang benar-benar diperlukan oleh umat Islam sekarang ini, bukan sekadar untuk menghadapi fitnah dajjal malah untuk mengembalikan kegemilangan Islam!
Pertamanya, tashih al-Aqidah. Memperbetulkan aqidah dan kepercayaan kita. Hendaklah aqidah kita, berlandaskan alquran dan sunnah yang sahih. Akidah ini memainkan peranan yang penting dalam beribadah! Terpesong akidah, runtuhlah ibadah, rosaklah akhlak.
Murnikanlah aqidah, iaitu dengan memusatkan segala niat ibadah kita hanya kepada Allah. Bukan kerana takutkan sesuatu makhluk @ sesuatu organisasi. Bukan kerana mahukan pengiktirafan dsb. Murnikanlah aqidah, iaitu dengan mengembalikan kembali tatacara ibadah kepada alquran dan sunnah. Hindarkan lah dari khurafat dan kepercayaan yang tidak berasas.
Keduanya, Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Memerhati/Mencerap). Allah menganugerahkan kepada kita pancaindera, untuk kita saling memerhati dan berfikir akan keagungannya! Bukannya memerhati dan berfikir, di mana agaknya tanda-tanda kod-kod dajjal itu. Asyik mencari dajjal, sehingga lupa kepada Allah.
Juga, perbetulkan metodologi berfikir kita. Tidak Allah jadikan semua benda di atas bumi ini, sia-sia. Fikirkanlah hikmah di sebalik kejadian tersebut. Fikirkan, bagaimana boleh kita memanfaatkan sesuatu itu untuk membangunkan Islam! Dan jangan lupa, hindarilah dari mengikat alquran dengan sains.
Dan ketiganya, Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah yang benar). Setelah kita berjaya memurnikan akidah kita, maka segala nilai-nilai lain seperti akhlak dan ibadah inshaAllah akan turut berlandaskan akidah tersebut. Dari situlah kita boleh kembali kepada tauhid tasawwuf yang asli, iaitu yang bersandarkan AlQuran dan Sunnah. Dari situlah, kita aplikasikan kegunaannya dalam kehidupan seharian – dalam berurusniaga, dalam berpolitik, dalam pendidikan, dalam ekonomi dan sebagainya.

Kesimpulan

Justeru itu, saya menyeru secara khusus kepada para conspiracy theorist, rujuklah kembali kepada AlQuran dan Sunnah dalam memperincikan dajjal. Kalaupun anda mahu berkonspirasi mengenai organisasi-organisasi rahsia seperti Freemason, Illuminati dsb, jangan libatkan mengenai dajjal iaitu perkara ghaib disisi Islam. Kita mahukan ummah kembali ke akidah yang murni, sebagaimana ummah di zaman Rasulullah. Ummah di zaman rasulullah, tidak perlukan bukti freemason illuminati dajjal dsb untuk beriman kepada Allah. Ummah di zaman Rasulullah, tidak perlu ditakut-takutkan dengan ancaman2, kerana Iman mereka itu cukup tebal berpandukan alQuran dan Sunnah.
Jika benar kalian hendak memperingati ummah akan bahaya fitnah Dajjal, maka lakukanlah apa yang disarankan oleh Rasulullah dalam hadis di atas tersebut. Anjurkanlah kuliah mentadabbur surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Galakkanlah ummah membaca dan menghafaz 10 ayat pertama dari surah alKahfi. Itulah sebaik-baik perlindungan daripada fitnah Dajjal, kerana ia datang sendiri daripada Allah dan RasulNya.
Dan kepada para pembaca pula, saya menyeru agar kita sentiasa berhati-hati. Kita sering berwaspada terhadap musuh-musuh Agama, namun kita lupa berwaspada terhadap diri kita sendiri. Dalam tak sedar, tangan kitalah yang melakukan fitnah dan kerosakan terhadap agama kita. Astaghfirullah. Marilah sama-sama kembali kepada alQuran dan Hadis, sebagai sumber keimanan kita. Dari situ kita bangkitkan ummah yang menyanjung alQuran dan Hadis, sebagai ummah kegemilangan inshaAllah!



Tiada ulasan: